Monday, 24 November 2014

FAKTOR SESEORANG TERJEBAK DENGAN DADAH


Beberapa faktor yang telah menyebabkan seseorang itu terjebak dengan gejala penagihan dadah, antaranya :

1. KECETEKKAN ILMU
Ilmu itu adalah cahaya sepertimana pesanan Imam Waqi' kepada Imam Syafie dan begitulah realiti kehidupan ini. Seseorang yang kurang ilmu pengetahuan khususnya mengenai pengetahuan dadah maka kebarangkalian bagi mereka terjatuh ke dalam kancah penagihan dadah adalah sangat besar. Orang yang berilmu akan senantiasa bertindak mengikut kewarasan fikiran yang positif seterusnya menyelamatkannya daripada budaya yang tidak sihat.
2.  PENGARUH KAWAN
Antara faktor yang paling popular bahkan statistik sendiri menunjukkan bahawa pengarauh kawan adalah punca utama seseorang itu terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Begitu ramai remaja dan belia kita yang tersalah memilih kawan dan akhirnya mereka mula terjebak dengan gejala yang tidak sihat. Ibubapa yang tidak mengawal pergaulan anak-anaknya juga menjadikan anak-anak itu mudah mendengar nasihat kawannya berbanding ibubapanya sendiri. Pihak ibubapa, sekolah dan masyarakat sekeliling perlu mempunyai sifat tanggungjawab yang tinggi bagi membendung pengaruh negatif menyelubungi remaja dan belia kita. Sepertiamana pepatah arab menyatakan “ Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”
 3. PERSEKITARAN YANG TIDAK SIHAT
Persekitaran bermaksud suasana kawasan yang membentuk tabiat seseorang manusia samada menjadi baik atau buruk. Faktor ini perlu dititik beratkan oleh para ibubapa terutamanya di dalam memilih tempat kediaman. Bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar, tumpuan anak-anak adalah sangat penting kerana jika tidak dikawal maka anak-anak ini akan mudah dipengaruhi perubahan arus keseronokkan dunia. Di sekeliling kotaraya yang besar telah tumbuh pelbagai permis-permis yang merosakkan kehidupan belia kita antaranya pusat perjudian, pusat hiburan, cyber cafe, kawasan-kawasan melepak, hotel-hotel bajet dan sebagainya. Tempat-tempat tersebut selalunya menjadi sarang kepada penagih-penagih dadah dan penjual-penjual dadah untuk mencari pelanggannya. Manakala di kawasan luar bandar pula, aktiviti penagihan dadah banyak terdapat di kawasan-kawasan yang sunyi seperti di rumah kosong, kawasan semak samun, di dalam ladang kelapa sawit dan kawasan-kawasan terpencil di dalam kebun. Bagi memastikan para belia dan remaja tidak terjebak dengan gejala negatif maka pihak berkuasa, berwajib, berkepentingan, berautoriti hendaklah mengambil tanggungjawab yang sewajarnya bagi mengelak gejala buruk ini menular.
4. TIADA KAWALAN IBUBAPA
Ibubapa adalah perisai utama kepada anak-anak. Tanpa didikan yang sempurna akan menyebabkan remaja dan belia akan mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir yang tidak sihat. Di zaman yang semakin mencabar ini dengan kenaikkan kos sara hidup telah menyebabkan ibubapa banyak memberikan tumpuan kepada kerjaya untuk meningkatkan taraf hidup. Oleh kerana itu, urusan anak-anak akan terabai, kasih sayang tidak dapat diberikan sepenuhnya sehinggakan anak-anak hilang kawalan oleh ibubapa. Slogan "Rumahku Syurgaku" tidak lagi terdapat di dalam banyak rumahtangga. Ibubapa tetap menumpukan kepada kekayaan dunia sedangkan permata hatinya semakin malap kerana dimamah anasir negatif yang mempengaruhi diri. Diharapkan ibubapa dapat memberikan keperihatinan kepada anak-anak sepenuhnya dan pandulah mereka ke jalan yang diredhai Allah.
5. MEDIA ELETRONIK
Media Elektronik seperti TV, Radio, Komputer, Telefon Mudah Alih adalah menyumbang kepada peningkatan jenayah sosial yang tinggi. Pengaruh daripada filem-filem atau drama tv yang banyak menonjolkan aksi-aksi ganas dan negatif telah mendorong remaja dan belia terikut-ikut dengan adegan tersebut. Kita sedia maklum, mana-mana cerita jenayah yang terdapat di dalam filem pasti melibatkan sindiket pengedaran dadah. Ini secara tidak langsung telah mendorong para remaja untuk mengenali dadah dengan lebih dekat. Bahkan ada juga trend "Tak ambil barang tak cukup nak jadi gangster" perkara ini akan merisaukan pelbagai pihak. Di media-media sosial seperti facebook dan youtube telah menjadi medan kepada peniaga-peniaga dadah secara online, bahkan ada juga fanpage yang digunakan untuk menghalalkan dadah di sisi undang-undang. Ini adalah perkembangan yang tidak sihat dan tidak seharusnya diambil mudah oleh kerajaan. Oleh itu, ibubapa hendaklah mengawasi tingkahlaku anak-anak terutamanya di dalam melayari internet.
6. HIBURAN YANG MELAMPAU
Sedia maklum bahawa faktor hiburan yang melampau juga mampu membawa seseorang itu terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Bermula tahun 60 an hinggalah sekarang ini pelbagai jenis dadah yang telah digunakan untuk mencapai tahap hiburan yang melampau antaranya dadah jenis heroin, ganja dan syabu. Contohnya kumpulan rock yang popular sekitar tahun 90 an iaitu Nirvana, dimana penyanyinya Kurt Cobain adalah seorang penagih heroin yang tegar. Manakala bagi penggemar muzik reggae yang telah menjadikan idolanya Bob Marley juga adalah seorang penagih ganja yang tegar. Kedua-dua artis ini mati akibat penggunaan dadah yang berlebihan. Selain pengaruh muzik, penumbuhan kelab-kenal hiburan juga menjadi faktor risiko kepada masyarakat khususnya dalam aktiviti pengedaran dadah jenis psikotropik. Pusat snooker juga menjadi tempat tumpuan para remaja menghabiskan masa bersama kawan-kawan dan kebiasaannya pengaruh negatif mudah masuk di tempat-tempat ini.
7. KETERHADAN SUMBER KEWANGAN
Keadaan ekonomi yang tidak menentu serta sumber pendapatan yang tidak dapat menampung kenaikkan kos hidup telah membawa kepada penularan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat. Maka kesan daripada itu, terdapat sebilangan belia yang sanggup mengadaikan nyawa untuk menjadi pusher atau tokan dadah untuk mengutip kemewahan hidup melalui jalan yang salah. Hal ini perlu diberikan perhatian yang serius oleh pelbagai pihak termasuklah masyarakat setempat. Perkara ini tidak hanya berlaku di dalam komuniti sahaja namun ada juga yang menjalankan jual beli dadah di dalam institusi pendidikan. Oleh itu, penerapan kesedaran bahaya dadah perlu diberikan secara komprehensif kepada para belia di negara ini agar mereka jelas dan peka terhadap bahaya penyalahgunaan dadah serta hukumannya.
8. TIADA DIDIKAN AGAMA YANG KUKUH
Pendidikan agama adalah tunjang kepada akhlak seseorang samada ianya baik ataupun buruk. Islam dengan jelas mengharamkan pengunaan dadah untuk diri kerana dadah telah diqiaskan dengan meminum arak. Bahkan, dadah mendatangkan kemudaratan yang lebih besar sehingga kepada tahap meragut nyawa seseroang yang mengambilnya. Oleh kerana itu, firman Allah Taala di dalam surah al-Baqarah ayat 195 "...dan janganlah mencampakkan dirimu dengan segaja ke dalam kemusnahan.." dengan jelas bahawa ayat ini memberikan hujah bahawa sesiapa sahaja yang menggunakan sesuatu untuk memudaratkan diri adalah haram ke atasnya. Jika kita lihat kembali kepada pemahaman masyarakat muslim di Malaysia ini mengenai stigma terhadap najis babi dan anjing adalah sangat tinggi. Namun tidak kepada najis dadah, sehinggakan ada yang menyatakan bahawa najis dadah tidak seharam najis babi dan anjing, sedangkan kemudaratan najis dadah itu lebih besar daripada najis babi dan anjing dan akibatnya masyarakat mula memandang enteng mengenai status najis dadah. Kerana itu, sesi pembelajaran pendidikan agama perlu menjelaskan secara terperinci mengenai hukum menghisap, mengguna, membawa, menjual, membeli, memproses dan mengedar dadah. Mohon pihak berwajib, menjalankan tanggungjawab yang lebih efektif bagi memastikan bahawa pelajar dan belia kita memahami secara jelas mengenai pengharam najis dadah.

19 comments: