Monday, 24 November 2014

FAKTOR SESEORANG TERJEBAK DENGAN DADAH


Beberapa faktor yang telah menyebabkan seseorang itu terjebak dengan gejala penagihan dadah, antaranya :

1. KECETEKKAN ILMU
Ilmu itu adalah cahaya sepertimana pesanan Imam Waqi' kepada Imam Syafie dan begitulah realiti kehidupan ini. Seseorang yang kurang ilmu pengetahuan khususnya mengenai pengetahuan dadah maka kebarangkalian bagi mereka terjatuh ke dalam kancah penagihan dadah adalah sangat besar. Orang yang berilmu akan senantiasa bertindak mengikut kewarasan fikiran yang positif seterusnya menyelamatkannya daripada budaya yang tidak sihat.
2.  PENGARUH KAWAN
Antara faktor yang paling popular bahkan statistik sendiri menunjukkan bahawa pengarauh kawan adalah punca utama seseorang itu terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Begitu ramai remaja dan belia kita yang tersalah memilih kawan dan akhirnya mereka mula terjebak dengan gejala yang tidak sihat. Ibubapa yang tidak mengawal pergaulan anak-anaknya juga menjadikan anak-anak itu mudah mendengar nasihat kawannya berbanding ibubapanya sendiri. Pihak ibubapa, sekolah dan masyarakat sekeliling perlu mempunyai sifat tanggungjawab yang tinggi bagi membendung pengaruh negatif menyelubungi remaja dan belia kita. Sepertiamana pepatah arab menyatakan “ Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”
 3. PERSEKITARAN YANG TIDAK SIHAT
Persekitaran bermaksud suasana kawasan yang membentuk tabiat seseorang manusia samada menjadi baik atau buruk. Faktor ini perlu dititik beratkan oleh para ibubapa terutamanya di dalam memilih tempat kediaman. Bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar, tumpuan anak-anak adalah sangat penting kerana jika tidak dikawal maka anak-anak ini akan mudah dipengaruhi perubahan arus keseronokkan dunia. Di sekeliling kotaraya yang besar telah tumbuh pelbagai permis-permis yang merosakkan kehidupan belia kita antaranya pusat perjudian, pusat hiburan, cyber cafe, kawasan-kawasan melepak, hotel-hotel bajet dan sebagainya. Tempat-tempat tersebut selalunya menjadi sarang kepada penagih-penagih dadah dan penjual-penjual dadah untuk mencari pelanggannya. Manakala di kawasan luar bandar pula, aktiviti penagihan dadah banyak terdapat di kawasan-kawasan yang sunyi seperti di rumah kosong, kawasan semak samun, di dalam ladang kelapa sawit dan kawasan-kawasan terpencil di dalam kebun. Bagi memastikan para belia dan remaja tidak terjebak dengan gejala negatif maka pihak berkuasa, berwajib, berkepentingan, berautoriti hendaklah mengambil tanggungjawab yang sewajarnya bagi mengelak gejala buruk ini menular.
4. TIADA KAWALAN IBUBAPA
Ibubapa adalah perisai utama kepada anak-anak. Tanpa didikan yang sempurna akan menyebabkan remaja dan belia akan mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir yang tidak sihat. Di zaman yang semakin mencabar ini dengan kenaikkan kos sara hidup telah menyebabkan ibubapa banyak memberikan tumpuan kepada kerjaya untuk meningkatkan taraf hidup. Oleh kerana itu, urusan anak-anak akan terabai, kasih sayang tidak dapat diberikan sepenuhnya sehinggakan anak-anak hilang kawalan oleh ibubapa. Slogan "Rumahku Syurgaku" tidak lagi terdapat di dalam banyak rumahtangga. Ibubapa tetap menumpukan kepada kekayaan dunia sedangkan permata hatinya semakin malap kerana dimamah anasir negatif yang mempengaruhi diri. Diharapkan ibubapa dapat memberikan keperihatinan kepada anak-anak sepenuhnya dan pandulah mereka ke jalan yang diredhai Allah.
5. MEDIA ELETRONIK
Media Elektronik seperti TV, Radio, Komputer, Telefon Mudah Alih adalah menyumbang kepada peningkatan jenayah sosial yang tinggi. Pengaruh daripada filem-filem atau drama tv yang banyak menonjolkan aksi-aksi ganas dan negatif telah mendorong remaja dan belia terikut-ikut dengan adegan tersebut. Kita sedia maklum, mana-mana cerita jenayah yang terdapat di dalam filem pasti melibatkan sindiket pengedaran dadah. Ini secara tidak langsung telah mendorong para remaja untuk mengenali dadah dengan lebih dekat. Bahkan ada juga trend "Tak ambil barang tak cukup nak jadi gangster" perkara ini akan merisaukan pelbagai pihak. Di media-media sosial seperti facebook dan youtube telah menjadi medan kepada peniaga-peniaga dadah secara online, bahkan ada juga fanpage yang digunakan untuk menghalalkan dadah di sisi undang-undang. Ini adalah perkembangan yang tidak sihat dan tidak seharusnya diambil mudah oleh kerajaan. Oleh itu, ibubapa hendaklah mengawasi tingkahlaku anak-anak terutamanya di dalam melayari internet.
6. HIBURAN YANG MELAMPAU
Sedia maklum bahawa faktor hiburan yang melampau juga mampu membawa seseorang itu terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Bermula tahun 60 an hinggalah sekarang ini pelbagai jenis dadah yang telah digunakan untuk mencapai tahap hiburan yang melampau antaranya dadah jenis heroin, ganja dan syabu. Contohnya kumpulan rock yang popular sekitar tahun 90 an iaitu Nirvana, dimana penyanyinya Kurt Cobain adalah seorang penagih heroin yang tegar. Manakala bagi penggemar muzik reggae yang telah menjadikan idolanya Bob Marley juga adalah seorang penagih ganja yang tegar. Kedua-dua artis ini mati akibat penggunaan dadah yang berlebihan. Selain pengaruh muzik, penumbuhan kelab-kenal hiburan juga menjadi faktor risiko kepada masyarakat khususnya dalam aktiviti pengedaran dadah jenis psikotropik. Pusat snooker juga menjadi tempat tumpuan para remaja menghabiskan masa bersama kawan-kawan dan kebiasaannya pengaruh negatif mudah masuk di tempat-tempat ini.
7. KETERHADAN SUMBER KEWANGAN
Keadaan ekonomi yang tidak menentu serta sumber pendapatan yang tidak dapat menampung kenaikkan kos hidup telah membawa kepada penularan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat. Maka kesan daripada itu, terdapat sebilangan belia yang sanggup mengadaikan nyawa untuk menjadi pusher atau tokan dadah untuk mengutip kemewahan hidup melalui jalan yang salah. Hal ini perlu diberikan perhatian yang serius oleh pelbagai pihak termasuklah masyarakat setempat. Perkara ini tidak hanya berlaku di dalam komuniti sahaja namun ada juga yang menjalankan jual beli dadah di dalam institusi pendidikan. Oleh itu, penerapan kesedaran bahaya dadah perlu diberikan secara komprehensif kepada para belia di negara ini agar mereka jelas dan peka terhadap bahaya penyalahgunaan dadah serta hukumannya.
8. TIADA DIDIKAN AGAMA YANG KUKUH
Pendidikan agama adalah tunjang kepada akhlak seseorang samada ianya baik ataupun buruk. Islam dengan jelas mengharamkan pengunaan dadah untuk diri kerana dadah telah diqiaskan dengan meminum arak. Bahkan, dadah mendatangkan kemudaratan yang lebih besar sehingga kepada tahap meragut nyawa seseroang yang mengambilnya. Oleh kerana itu, firman Allah Taala di dalam surah al-Baqarah ayat 195 "...dan janganlah mencampakkan dirimu dengan segaja ke dalam kemusnahan.." dengan jelas bahawa ayat ini memberikan hujah bahawa sesiapa sahaja yang menggunakan sesuatu untuk memudaratkan diri adalah haram ke atasnya. Jika kita lihat kembali kepada pemahaman masyarakat muslim di Malaysia ini mengenai stigma terhadap najis babi dan anjing adalah sangat tinggi. Namun tidak kepada najis dadah, sehinggakan ada yang menyatakan bahawa najis dadah tidak seharam najis babi dan anjing, sedangkan kemudaratan najis dadah itu lebih besar daripada najis babi dan anjing dan akibatnya masyarakat mula memandang enteng mengenai status najis dadah. Kerana itu, sesi pembelajaran pendidikan agama perlu menjelaskan secara terperinci mengenai hukum menghisap, mengguna, membawa, menjual, membeli, memproses dan mengedar dadah. Mohon pihak berwajib, menjalankan tanggungjawab yang lebih efektif bagi memastikan bahawa pelajar dan belia kita memahami secara jelas mengenai pengharam najis dadah.

Sunday, 23 November 2014

Program SMART "Belia Muafakat"

PROGRAM SMART “BELIA MUAFAKAT”

Desaru, 22-23 November 2014 : Pihak Persatuan Belia Warisan Johor Bahru dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Johor telah menjayakan program SMART “Belia Muafakat”. Encik Hamzah bin July selaku pengerusi persatuan telah memberikan kerjasama dan komitmen yang baik di dalam menjayakan program ini. Seramai 40 orang belia yang terdiri daripada belia-belia Pasir Gudang dan Johor Bahru telah mengikuti program ini.
Program ini dijalankan selama 2 hari 1 malam di Kompleks Sukan & Udara Rakan Muda, Desaru, Kota Tinggi. Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti pertandingan Futsal, Latihan Dalam Kumpulan, Karaoke dan Kemahiran Berkayak. Pengisian yang santai ini telah berjaya menarik minat para belia di kawasan Pasir Gudang untuk mengikut serta program ini.
Program telah mendapat maklumbalas yang baik daripada para peserta dan meraka juga turut berharap agar program-program seperti dapat diteruskan pada masa akan hadapan. Pihak AADK mengucapkan jutaan terima kasih kepada En. Hamzah bin July serta urusetia-urusetia dari Persatuan Belia Warisan kerana telah menjayakan program ini. Justeru itu, pihak AADK juga amat berharap jalinan kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan belia kita bebas daripada gejala penyalahgunaan dadah.






Sunday, 22 June 2014

WALKABOUT KESEDARAN DADAH


Johor Bahru, Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunus sekali lagi menjadi kawasan tumpuan bagi program Kempen Antidadah : Walkabout Kesedaran Dadah pada 20 Jun 2014 yang lalu. Program ini bertujuan memberi kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah kepada masyarakat. Mendapat kerjasama yang baik daripada Persatuan Bolasepak Neger Johor (PBNJ) maka pihak AADK telah mendapatkan perkhidmatan Bas Pameran Bergerak AADK dari ibupejabat AADK bagi menyertai program tersebut.
Stadium Larkin

Perkhidmatan Bas Pameran AADK
Kehadiran Bas Pameran Bergerak AADK telah memberi daya tarikan kepada para penyokong bolasepak untuk melihat dengan lebih dekat mengenai mesej yang hendak disampaikan kepada mereka. Sempena perlawanan liga super di antara Johor Darul Ta'zim dan Kelantan telah memperlihatkan seramai 30 ribu penyokong membanjiri perkarangan Stadium Larkin.

Bas Pameran AADK
Beberapa aktiviti yang dijalankan di dalam program ini antaranya perkhidmatan Bas Pameran, edaran risalah serta temuramah penyokong. Para penyokong telah memberikan respon yang baik kepada AADK bahkan mereka juga mahukan aktiviti seperti ini diteruskan dari masa ke semasa.
Edaran Risalah
Pihak Agensi Antidadah Kebangsaan Daerah Johor Bahru dan Negeri Johor mengucapkan jutaan terima kasih kepada Persatuan Bolasepak Negeri Johor kerana telah memberikan kerjasama yang sangat baik sepanjang program ini berlangsung. Diharapkan pada masa akan datang, pihak PBNJ akan memberikan kerjasama lagi khasnya di dalam Kempen Antidadah di perkarangan Stadium Larkin.
Pihak AADK Negeri Johor bercadang akan melaksanakan program yang lebih 'grand' di Stadium Larkin sempena Kempen Piala Malaysia. 
Pihak kami juga mengalu-alukan kepada mana-mana pihak yang ingin turut serta bersama AADK dalam usaha membasmi dadah boleh menghubungi terus ke 07-237 3616 untuk maklumat lanjut. Semoga usaha yang dilakukan ini diberkati oleh Allah S.W.T dan memberikan impak yang positif kepada masyarakat.
Sesi Temuramah 


"Dadah MASIH Musuh No.1 Negara"

Wednesday, 11 June 2014

OUTREACH KESEDARAN DADAH DI STADIUM LARKIN



Johor Bahru, Agensi Antidadah Kebangsaan Daerah Johor Bahru dengan kerjasama Southern Tigers sdn.bhd telah melaksanakan program Outreach Kesedaran Dadah kepada para penyokong Johor Darul Ta'zim di perkarangan Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunus pada 16 Mei 2014 sempena perlawanan separuh akhir Piala FA di antara pasukan JDT dan pasukan Pahang.
Cenderahati kepada penyokong JDT

Program ini bertujuan menyampaikan maklumat tentang bahaya dadah kepada para penyokong JDT serta mendengar pandangan-pandangan mereka tentang gejala penagihan dadah. Berdasarkan kepada statistik Maklumat Dadah 2013, gejala penagihan dadah kebanyakkannya terdiri daripada golongan remaja dan belia. Maka melalui platform ini, pihak AADK beranisiatif melaksanakan program sedemikian bagi memastikan setiap penyokong JDT tidak terlibat dengan gejala penyalahgunaan dadah.
Seruan Presiden PBNJ iaitu Tunku Mahkota Johor kepada anak-anak Johor agar tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah telah menjadi objektif utama di dalam melahirkan anak-anak Johor bebas dari penyalahgunaan dadah.
Bergambar bersama penyokong JDT

Selain itu, program ini juga dapat meningkatkan kredibiliti pengurusan PBNJ di dalam menerajui persatuan bolasepak pertama yang menjalankan aktiviti-aktiviti sosial termasuklah kempen antidadah dalam kalangan penyokong Johor Darul Ta'zim.
Program seperti ini juga akan dilaksanakan pada masa akan datang dan seterusnya menjadikan negeri Johor bebas dari gejala penyalahgunaan dadah menjelang tahun 2015.

Sunday, 11 May 2014

Program Outreach Kesedaran Dadah di Pasar Malam Taman Universiti, Johor Bahru





Johor Bahru - Agensi Antidadah Kebangsaan Daerah Johor Bahru dengan kerjasama Ahli Majlis MPJBT serta Ahli SKUAD 1Malaysia Johor Bahru telah menjalankan aktiviti Outreach Kesedaran Dadah dalam kalangan penduduk Taman Universiti, Skudai, Johor Bahru pada 9 Mei 2014 (Jumaat). Program ini telah berjaya menarik minat orang ramai untuk mengetahui perkhidmatan yang disediakan oleh pihak AADK. Selain itu, para pengunjung pasar malam tersebut juga secara langsung menyedari bahawa AADK dan SKUAD 1Malaysia peka dan prihatin mengenai masalah dadah di tempat mereka. Program ini juga mendapat respon yang baik daripada Ahli Majlis Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) iaitu Cik Raden Seri Kartini bte Abdullah serta Pengerusi Belia Warisan merangkap ahli SKUAD 1Malaysia iaitu Encik Hamzah bin July. Hasil daripada temubual bersama para penduduk setempat, mereka menunjukkan rasa kagum di atas usaha yang dijalankan oleh pihak AADK dan Ahli SKUAD 1Malaysia dan mereka juga mengharapkan agar program seperti ini dipergiatkan lagi di kawasan-kawasan lain.
Cik Raden Seri Kartini bersama peniaga

Sokongan yang baik dalam kalangan penduduk amatlah dihargai dan pihak AADK juga sentiasa memberi ruang dan kerjasama yang baik kepada mana-mana organisasi mahupun individu dalam usaha memerangi dadah habis-habisan. Cik Raden Seri Kartini juga memohon kepada AADK supaya diperbanyakkan lagi risalah untuk diedarkan kepada semua pengunjung pasar malam tersebut dan pandangan ini juga turut disokong oleh Encik Hamzah bin July selaku Ahli SKUAD 1Malaysia Johor Bahru.
Penggerak Program

Diharapkan juga, program seperti ini dapat diteruskan dengan melibatkan lagi ramai ahli-ahli SKUAD 1Malaysia bagi menyuntik semangat masyarakat setempat untuk bersama-sama AADK membasmi penyalahgunaan dadah hingga ke akar umbi.
En. Hamzah bersama pengunjung

Tuesday, 29 April 2014

AADK JOHOR BAHRU

AADK Johor Bahru di Jalan Yahya, Johor Bahru


Agensi Antidadah Kebangsaan Daerah Johor Bahru

JKR 202C, JALAN YAHYA AWAL,
80100 JOHOR BAHRU, JOHOR
TEL: 07-2276900